Suspek Dalam Bot Lepaskan Lima Ke Enam Das Tembakan Ke Arah Jambatan

Polis menjalankan risikan bagi mengesan suspek. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Sekurang kurangnya lima ke enam das tembakan dilepaskan oleh suspek dengan menggunakan senapang laras panjang hingga mengenai tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak cedera di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 30-an yang menaiki bot pam dipercayai melepaskan tembakan ke arah jambatan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Polis menjalankan risikan bagi mengesan suspek. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Menurut beberapa saksi kejadian mengatakan suspek dari arah bot melepaskan lima ke enam das tembakan dipercayai menggunakan senapang laras panjang.

“Namun kita tidak dapat pastikan jenis senapang yang digunakan oleh suspek terbabit,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata pihaknya sedang mengesan suspek terbabit yang mana dipercayai masih bersembunyi di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya.

“Sejak semalam lagi selepas kejadian itu, pihaknya terutama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan risikan dan pemantaun di lokasi kejadian bagi mengesan suspek terbabit sekali gus mengelak suspek daripada melarikan diri.

ACP Habibi Majinji. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Dengan elemen elemen berkenaan, saya harap dalam tempoh terdekat ini, kita dapat kesan dan berkas suspek terbabit,” katanya.

Ditanya mengenai motif kejadian, Habibi berkata pihaknya masih menyiasat punca kejadian itu dan kemungkinan kejadian itu bukan tembakan rambang.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana kejadian ini adalah terpencil dan sudah beberapa tahun kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

“Mungkin motif lain yang kita masih belum pasti diantara mangsa dengan subjek (suspek) itu sendiri.

Sementara itu, Habibi berkata kesemua mangsa yang juga warga tempatan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Lokasi kejadian. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam kejadian jam 7 semalam, suspek menembak tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Dua mangsa berusia 36 dan 10 tahun parah manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera ringan. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *