Daripada 120 Jawatan Kanan Di Sabah, Cuma 8 Orang Dari Semporna

KOTA KINABALU: Terdapat sebanyak 120 jawatan kanan dalam Kerajaan Negeri Sabah dan daripada jumlah itu hanya lapan sahaja yang diisi oleh individu dari Semporna, manakala selebihnya dari daerah lain dan daripada pemimpin pelbagai kaum.

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, itu hakikat sebenar yang berlaku dalam pengisian jawatan kerajaan negeri ketika ini bukannya seperti yang ditularkan kononnya semua jawatan kanan yang ada di Sabah dipegang oleh orang Semporna.

Ketua Menteri berkata, sejak memimpin Sabah, beliau telah menambah baik sistem pentadbiran dan hanya individu yang betul-betul berkelayakan diberikan amanah memegang jawatan kanan bukannya dilantik secara semberono.

“Kita di peringkat perkhidmatan awam kita rombak mesti berdasarkan merit yang ada walaupun mereka cerita tular semua jawatan orang Semporna yang pegang, mana ada orang Semporna yang pegang saya sudah bagi laporan tadi di Kabinet.

“Daripada 120 jawatan yang tinggi di negeri sabah DO (pegawai daerah), SS (Setiausaha Kerajaan Negeri), Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan juga pegawai kanan kepada setiausaha tetap, orang Semporna daripada 120 cuma lapan sahaja, satu orang sahaja Setiausaha Tetap, satu sahaja bukan semua dari Semporna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mesra Rakyat Sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 Parlimen Penampang dianjurkan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking.

Mohd. Shafie berkata, tuduhan kononnya semua jawatan kanan diisi oleh orang Semporna sengaja ditimbulkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mencemarkan imej kerajaan negeri sedangkan apa yang dilakukan parti itu semasa memerintah dulu lebih jelas.

Ketua Menteri memberikan contoh nepotisme yang wujud dalam BN sebelum ini apabila Ketua Menteri Sabah ialah Tan Sri Musa Aman manakala adiknya, Datuk Seri Anifah Aman pula menjawat Menteri Luar.

Tidak cukup dengan itu katanya, dasar pemerintahan terdahulu adalah mengambil tanah rakyat untuk diberikan kepada kroni, namun semuanya telah dihapuskan sejak beliau mentadbir Sabah selepas pilihan raya umum 2018.

“Berapa tahun mereka bagi tanah, 100 tahun mereka bagi tanah kepada rakan-rakan mereka yang ada, saya beritahu Perdana Menteri tentang ini, kita jangan mudah lupa, kita dalam kerajaan sejak saya ambil alih tiada seinci pun tanah saya ambil sebagai Ketua Menteri untuk saya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *