RM32,725,020 Peruntukan Laksana Kerajaan Elektronik Di Sabah Tahun Ini

Dr Yusof Yacob

KOTA KINABALU: Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata sebanyak RM32,725,020 diperuntukkan untuk melaksanakan Kerajaan Elektronik melalui Perjanjian Sistem Kerajaan Elektronik di Sabah pada tahun ini.

Beliau berkata melalui peruntukan itu kementeriannya telah dipertanggjungjawabkan untuk menjaga hal-hal pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Teknologi Digital di Negeri Sabah.

“Bagi memantapkan keberkesanan rangkaian SabahNet, hampir 200 lokasi baharu pejabat kerajaan negeri akan disambungkan ke SabahNet. Ini akan menjadikan bilangan pejabat yang dirangkaikan melebihi 700 pejabat.

 “Di samping itu, prestasi kelajuan rangkaian akan ditingkatkan kepada minima 30Mbps hingga 100Mbps untuk pejabat-pejabat luar Kota Kinabalu, manakala bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah diletakkan dalam rancangan untuk dinaiktarafkan sekurang-kurangnya 1GBps.  Namun semua peningkatan ini adalah bergantung kepada ketersediaan infrastruktur telekomunikasi yang mantap khususnya rangkaian gentian optik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Sabah Digital Infrastructure Lab, di sini hari ini.

Mengulas mengenai bangkel itu, Yusof berkata ia adalah julung kali dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dan Inovasi dengan mengumpul semua pemain industri ICT dari pelbagai sektor dan agensi kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan, syarikat-syarikat Komunikasi, persatuan dan komuniti NGO ICT.

“Bengkel ini merupakan suatu perjumpaan yang sungguh bermakna, untuk berbincang mengenai idea-idea baharu, teknologi baharu, cabaran dan rintangan serta percambahan fikiran untuk perancangan hala tuju ke arah penghasilan Sabah ICT Blueprint yang baharu dan mencapai matlamat menjadikan Sabah sebuah negeri digital sepenuhnya menjelang tahun 2025.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *