Lelaki Mati Ditikam Di Rumahnya Di Lahad Datu

Rumah mangsa di Kampung Telisai. Foto Ihsan Polis.

LAHAD DATU: :Lelaki Indonesia ditemui mati dengan kesan tikaman di perut di Kampung Telisai dekat Tungku, Lahad Datu, malam tadi.

Kejadian berlaku pada 11.40 malam menyebabkan Abdul Latif Saripuddin, 49, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi sebaik dimaklum kejadian itu yang disedari jiran mangsa.

“Dalam siasatan awal, jiran mendakwa mendengar jeritan mangsa dan segera memaklumkan kepada majikannya.

“Mereka kemudian ke rumah mangsa dan menendang pintu rumah lelaki itu sebelum menemuinya terbaring di ruang tamu rumah dalam berlumuran darah.

“Majikan itu kemudiannya menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasri berkata, siasatan lanjut di lokasi itu mendapati tiada kesan pecah rumah dan mangsa tinggal berseorangan.

“Mangsa mengalami luka tikaman di bahagian perut dengan kelebaran 7.6 sentimeter,” katanya.

Susulan kematian itu, polis menahan wanita Filipina berusia 41 tahun dan suaminya berusia 60 tahun yang juga lelaki tempatan.

Katanya, wanita berkenaan dipercayai amah di rumah mangsa yang diberhentikan kerja dua hari lalu.

“Siasatan lanjut termasuk motif kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *