SESB Perkenal Pembayaran Bil Elektrik Dengan Autopay & Autodebit

KOTA KINABALU: Kesibukan dengan tugasan harian kini bukan lagi penghalang kepada pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk menjelaskan bayaran bil elektrik pada masa yang ditetapkan.

SESB teleh mempermudahkan lagi rangkaian pembayaran bil elektrik dengan memperkenalkan kaedah autopay dan autodebit.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat SESB, Hajah Chendramata Hj Sinteh berkata pelanggan SESB kini boleh menjelaskan bil elektrik mereka melalui kaedah pembayaran autopay dan autodebit selain daripada pembayaran menggunakan kiosk yang beroperasi 24 jam di pejabat-pejabat SESB seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Chendramata Sinteh. Gambar Fail SNT

Menurut Chendramata, pembayaran menggunakan kaedah autopay ialah pembayaran bil elektrik melalui pemotongan kad kredit atau debit, manakala kaedah autopay adalah pembayaran bil elektrik melalui potongan akaun semasa pengguna.

“Autopay adalah kaedah pembayaran bil elektrik yang akan mendebit kad kredit anda secara automatik setiap bulan, berdasarkan jumlah jumlah bil elektrik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pengguna yang ingin membayar bil elektrik menggunakan kaedah autopay dan autodebit ini perlu mendaftar terlebih dahulu

Beliau berkata pengguna perlu melengkapkan borang autodebit/autopay yang boleh didapati di laman sesawang SESB atau berkunjung ke pejabat SESB yang berdekatan.

Pengguna dikehendaki untuk mendaftarkan nombor akaun bank bagi perkhidmatan autodebit atau kad kredit/debit bagi perkhidmatan autopay.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke pejabat SESB yang berhampiran untuk tujuan pemprosesan dan pengguna akan dimaklumkan melalui e-mel atau Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sekiranya permohonan diluluskan atau ditolak.

Setiap kali pemotongan bayaran bil elektrik melalui akaun bank atau kad kredit dilaksanakan, satu e-mel atau SMS akan dihantar kepada pengguna sebagai
pemakluman bayaran dan akaun elektrik pengguna akan dikemaskini serta merta.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *