Jangan Timbulkan Isu Boleh Mendatangkan Kebencian Kaum Di Sabah – Omar

KOTA KINABALU: Masyarakat diingatkan tidak menimbulkan atau menyebar sebarang isu boleh mendatangkan kebencian kaum di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata isu perkauman yang dimainkan bimbang boleh mewujudkan pelbagai komen sensitif, provokasi dan permusuhan.

“Sejak akhir ini, terdapat perkembangan yang berlaku di Sabah berkaitan isu-isu perkauman yang dimainkan pihak tertentu.

Omar (dua dari kanan) bersama Mohd Shafie ketika Kunjungan Hormat Kepada Ketua Menteri di Kota Kinabalu, hari ini. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Saya tidak menafikan ada kejadian seumpama ini berlaku di sini tetapi kalau boleh kita cuba matikan ia supaya tidak berpanjangan hingga menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

“Oleh sebab itu juga saya kurang gemar apabila diminta memberi komen mengenai sesuatu kejadian daripada perselisihan kaum. Kalau boleh saya tidak mampu komen kerana bimbang kenyataan boleh disalah tafsir.

“Hormati hubungan antara kaum serta agama di negeri ini. Akur dan sedar bahawa hidup kita di Sabah dikelilingi oleh kepelbagaian kaum,” katanya.

Omar (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Shafie (kanan) 
sempena Kunjungan Hormat Kepada Ketua Menteri di Kota Kinabalu, hari ini. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sempena persaraan beliau pada pertengahan Februari ini selepas lebih 30 tahun berkhidmat dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), dekat sini, hari ini.

Mula memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah pada September 2018, beliau berterima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan yang sudah memberi ruang menjalankan tugas khususnya dalam membanteras jenayah, memerangi dadah serta menguatkuasakan undang-undang untuk keselamatan negeri.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak media yang sentiasa bersama polis kontinjen Sabah dalam mengambil tahu berkaitan pelbagai kes jenayah, operasi dan aktiviti kepolisian.

Sementara itu, ditanya mengenai pengalaman  sukar dilupakan sepanjang bertugas, Omar berkata kejayaan kontinjen Sabah dinobatkan sebagai kontinjen terbaik di Malaysia dalam usaha membanteras jenayah dadah bagi tahun 2019 adalah kenangan tidak mampu dilupakannya.

“Kejayaan ini bukan sahaja daripada operasi di peringkat daerah tetapi hasil kerjasama ditunjukkan oleh masyarakat setempat di kawasan terbabit termasuklah ketua kampung serta ketua masyarakat yang sentiasa memberikan maklumat kepada polis.

“Walaupun kegiatan berkaitan dadah di negeri belum dapat dihapuskan 100 peratus tetapi kita mencapai perubahan hingga 80 peratus berbanding sebelum ini.

“Semoga usaha berkenaan dapat diteruskan oleh pengganti saya selepas ini,” katanya.

Sumber: SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *