Lelaki Maut Ketika Menuju Ke Tempat Kerja

Penunggang motosikal maut ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

TAWAU: Lelaki pekerja kilang maut apabila motosikal ditunggang melanggar sebuah kenderaan jip jenis Ford yang secara tiba-tiba masuk di Simpang Jalan Utara Baru, dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, mangsa Rudy Abd Rahman, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian berlaku ketika jip yang dipandu seorang peneroka felda berusia dalam lingkungan 50 tahun sedang dalam perjalanan dari Felda Umas menuju ke Bandar Tawau.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas pula dari arah Kampung Kongsi 10 menuju ke tempat kerjanya di Gudang Empat, Pasir Putih.

“Siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi kejadian pemandu jip cuba memasuki simpang Jalan Utara Baru kerana melihat jarak kenderaannya dengan motosikal mangsa masih jauh.

“Bagaimanapun jarak motosikal terlalu dekat hingga mengakibatkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kenderaan jip terbabit sebelum terseret sejauh 2.9 meter.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu jip tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

“Pemandu jip ditahan untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai hingga mengakibatkan kematian,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *