Kilang Minyak Masak ‘BESS’ Bukti Kerajaan Tunai Manifesto

TAWAU: Kilang minyak masak ‘Bess’ yang dibina di daerah Tawau membuktikan pihak kerajaan mampu menunaikan manifesto dan janji semasa pilihan raya umum (PRU) lalu dengan mewujudkan industri downstream di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pembinaan kilang ini merupakan satu usaha yang telah dijanjikan semasa PRU lalu dimana akan membuat pembaharuan dari segi meletakkan Sabah sebagai pengeluar produk.

“Kita sedia maklum negeri Sabah mempunyai keupayaan mengeluarkan minyak kelapa sawit yang selama ini kita mengeksport minyak sawit mentah (CPO) ke banyak tempat berikutan kita tidak mempunyai industri hiliran yang banyak.

Shafie melawat kilang pembungkusan minyak masak ‘Bess’.

“Dengan itu, kerajaan negeri melihat perlunya mewujudkan kilang-kilang yang membolehkan sumber-sumber yang kita ada diproses di negeri kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan minyak masak ‘Bess’ keluaran syarikat kerajaan negeri Benta Wawasan Sdn Bhd, di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha kerajaan memperbanyakkan industri hiliran ini kerana melihat boleh mengatasi banyak masalah termasuklah peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.

“Dengan adanya kilang-kilang yang dibina, anak-anak tempatan tidak lagi perlu mencari pekerjaan di Semenanjung kerana kita sudah mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan melalui memperbanyakkan industri hiliran,” katanya.

Mengulas mengenai kilang ini, beliau berkata kilang minyak masak ‘Bess’ yang menelan belanja RM3.5 juta ini mampu mengeluarkan 2,000 tan minyak masak yang diproses dalam sebulan.

“Minyak ini akan dipasarkan bukan sahaja di dalam negeri Sabah bahkan kita akan pasarkan ke luar negara sekiranya mempunyai permintaan yang tinggi daripada negara luar.

“Dengan keluasan tanah 200 ekar di kawasan ini, kita boleh meningkatkan keupayaannya membina lebih banyak kilang seperti kilang ini sekiranya terdapat permintaan yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, usaha yang sehebat ini adalah semata-mata untuk memberikan manfaat kepada semua rakyat kerana tidak mahu sumber kekayaan yang ada tidak memberikan apa-apa kepentingan kepada rakyat.

“Minyak dikeluarkan oleh syarikat ini dijual lebih murah berbanding yang ada di pasaran, dijangkakan dalam lingkungan RM0.50 sen hingga RM1 lebih murah dan kita akan cuba mendapatkan subsidi supaya harganya boleh diturunkan sehingga 30 peratus,” katanya.

Shafie juga berkata, kerajaan sangat optimis membina lebih banyak kilang-kilang berasaskan sumber kelapa sawit kerana ianya juga merupakan langkah dimana harganya yang tidak menentu buat masa ini.

“Kita tidak perlu menunggu harganya meningkat baru hendak dijual dan kita tidak perlu terlalu bergantung kepada eksport tetapi ianya boleh dijadikan pelbagai produk yang mampu menstabilkan harga pasaran sawit,” katanya.

Menurutnya, banyak lagi perancangan yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mewujudkan industri hiliran antaranya di Keningau yang menghasilkan jus dan biskut daripada buah nanas dan pamelo.

“Disamping itu, kilang perabot yang terdapat di Kimanis dan Kota Marudu akan ditingkatkan lagi kerana kita mempunyai sumber kayu kayan yang cukup baik dan bermutu tinggi,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *