Hilang Kepercayaan, Timbalan Presiden PBS Datuk Jamilah Sulaiman Keluar Parti

Jamilah (tengah) bersama 17 daripada 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) PBS Bahagian Sipitang mengisytiharkan keluar dari PBS. Gambar SNT

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kehilangan Timbalan Presidennya bagi kuota Bumiputera Islam apabila Datuk Hajah Jamilah Sulaiman mengisytiharkan keluar daripada parti itu hari ini.

Beliau yang juga Ketua Bahagian PBS N.28 Sindumin turut melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Katanya beliau membuat keputusan itu setelah mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama penyokong dan pendokong setia PBS khususnya di bahagian Sipitang.

Datuk Jamilah Sulaiman.

“Dengan mengambil kira pandangan dan perjuangan mereka bersama saya dalam PBS selama ini, maka saya mengambil keputusan meletak semua jawatan dalam parti dan mengisytiharkan keluar dari PBS dan berhenti daripada menjadi ahli PBS.

“Saya membuat keputusan ini kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili. Beliau seorang pemimpin yang tidak konsisten, tidak berpegang kepada kata-katanya, tidak bertimbang rasa, pilih kasih dan hipokrit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamilah telah bersama-sama dalam perjuangan PBS selama 32 tahun dibawah kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan 1 tahun 2 bulan dibawah kepimpinan Dr Maximus.

Jamilah merupakan wanita pertama dipilih menjadi Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam.

Beliau dipilih semula (tanpa ditanding) sebagai salah seorang daripada tiga Timbalan Presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan yang ke 33 pada November 2018. Penyandang lain ialah Datuk Seri Panglima Radin Malih dan Datuk Dr Yee Moh Chai.

“Memandangkan saya tidak dapat bekerjasama dengan YB. Presiden dan “gengnya” dalam PBS, maka adalah Iebih baik saya keluar dari parti saja.

“Walaupun amat berat bagi saya untuk mengambil keputusan meninggalkan PBS setelah berjuang bersama parti itu Iebih daripada 33 tahun,” katanya.

“Pada masa ini saya mahu berehat dari politik untuk sementara waktu dan setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan karier politik saya,” tambah Jamilah.

Jamilah merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sipitang (1990-1994) dan Ahli Dewan Negara (2012-2018).-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *