KOTA KINABALU: Tiga unit rumah flat di tingkat bawah dan tingkat satu terbakar dalam kejadian di lorong Bunga Semarak, Kepayan Ridge, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam kira-kira jam 6 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas semua penghuni di tiga rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.
Bagaimanapun tindakan pantas pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, diketuai Penolong Bomba Kanan II Norkizan Durudin berjaya menyelamatkan 21 unit rumah lain di blok berkenaan daripada terjejas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai sembilan anggota dari BBP Kota Kinabalu, membabitkan dua jentera dan sebuah EMRS bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan jam 6.02 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba terus bertindak mengawal api daripada merebak.
“Operasi dapat dikawal jam 6.18 petang. Kebakaran membabitkan tiga unit rumah di tingkat bawah dan di tingkat satu, masing-masing terbakar 70, 40 dan 10 peratus,” katanya.
Menurutnya, tiga unit rumah yang terbakar itu didiami seramai 13 orang dan semua berjaya menyelamatkan diri.
“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya jam 7.15 malam tadi,” katanya.
SabahNewsToday