Saya Masih Hidup

Bekas peserta Bintang Mencari Bintang, Sahirman Pulon menunjukkan laporan polis berhubung maklumat palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud. FOTO Recqueal Raimi

KOTA BELUD: Peserta Bintang Mencari Bintang 2014, Sahirman Pulon, 32, kesal dengan berita palsu dia meninggal dunia yang tular di laman sosial sejak semalam.

Sahirman yang juga pelakon filem tempatan berkata, dia berada dalam keadaan sihat dan sedang sibuk menjayakan filem baharu bersama barisan pelakon terkenal yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

“Maklumat palsu ini saya terima daripada rakan yang menghubungi saya semalam untuk memastikan kesahihan sebaik ia dimuat naik di Facebook menyatakan saya meninggal dunia.

“Saya mencari maklumat tular itu dan mendapati empat akaun Facebook berbeza memuat naik maklumat palsu itu,” katanya.

Menurutnya, dia percaya kemungkinan ia angkara individu tidak berpuas hati selepas mengadakan ‘live video’ di Facebook berhubung aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad baru-baru ini.

“Saya sedih dan terkilan dengan perbuatan segelintir individu melakukan perkara ini sedangkan saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Saya tidak mengenali siapa individu yang tergamak membuat fitnah saya meninggal dunia. Saya percaya keempat-empat akaun Facebook itu digunakan individu yang sama,” katanya.

Sahirman berkata, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Belud pada jam 12.34 tengah hari tadi.

Sejak semalam, wujud akaun Facebook yang memuat naik kenyataan Sahirman dilaporkan meninggal dunia berserta gambar seang menerima rawatan di hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu tahun 2015.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *