PKR, Warisan Mantapkan Pembangunan Berkesan

TAWAU, 1 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) sekali gus bersama membangunkan negeri ini, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerjasama baik sedia ada bersama Warisan itu perlu dimanfaatkan kerana menerusi gandingan mantap di peringkat kepimpinan Sabah ketika ini dapat memastikan pembangunan negeri dan rakyat lebih berkesan.

“Hubungan mantap dalam kepimpinan sebuah kerajaan memberi kesan untuk faedah rakyat Sabah,” katanya pada majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Tawau di sini, hari ini.

Menurut Anwar, Sabah di bawah pimpinan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berusaha gigih meningkatkan pembangunan dan menarik kemasukan pelancongan ke negeri ini.

Anwar berkata konsep pembangunan yang sering dimaksudkannya adalah negara dan rakyat membangun bersama.

“Bukannya negeri kaya, hasil balak dan minyak banyak tetapi rakyat merempat miskin kerana wujud segolongan kecil iaitu kelompok penguasa politik yang membolot kekayaan dan individu ini perlu ditolak.

“Seorang pemimpin perlu memberi perhatian untuk menjana kegiatan ekonomi bukannya bolot untuk diri sendiri kekayaan,” katanya lagi.

Di samping itu katanya, rakyat jangan terpedaya dengan polemik perkauman yang sengaja dicetuskan sehingga rakyat berbilang kaum berpecah belah

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *