‘Lihat’ Keperluan Tubuh Jawatankuasa Khas Urus Buruh Asing & PTI Di Sabah

 Jeffrey percaya satu jawatankuasa khas pilihan pengurusan buruh asing dan kehadiran PTI di Sabah perlu diwujudkan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Negeri digesa supaya ‘melihat’ keperluan menubuhkan jawatankuasa khas pilihan pengurusan buruh asing dan kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.

Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata mekanisme itu meliputi dasar, pengurusan, operasi dan semua pihak berkepentingan.

“Dari peringkat dasar, perundangan dan perlembagaan, kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa khas ini,” katanya, kepada pemberita pada sidang media, di sini, semalam.

Dr Jeffrey percaya jawatankuasa itu harus melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang untuk mengurus serta memantau pergerakan buruh asing dan PTI.

Menurutnya, perlu ada mekanisme sesuai untuk orang tempatan melaporkan pergerakan orang luar di kawasan mereka kepada pihak berkuasa tempatan dan penguatkuasa lain.

“Hal itu amat mendesak dan saya akan membawa usul pembentukan jawatankuasa khas ini pada sesi persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan datang,” katanya.

Ahli Parlimen Keningau terbabit juga percaya bahawa jawatankuasa khas terbabit harus diberi tanggungjawab untuk melindungi kedaulatan tanahair dan perlembagaan negara.

Pada masa sama, jawatankuasa itu diharap diberi kuasa mencadang polisi pengurusan buruh asing dan PTI, selain memantau ‘aktiviti’ jabatan termasuk kementerian berkaitan.

“Saya juga mencadangkan Kerajaan Negeri menubuhkan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk Sabah sebagai tambahan kepada jawatankuasa khas ini,” katanya.

Beliau turut merayu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad supaya serius dan mengambil perhatian dalam mencari kaedah penyelesaian menyeluruh masalah berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu juga percaya kerajaan mesti mempunyai penyelesaian yang tepat dan menyeluruh untuk mengekang ‘kebanjiran berterusan’ PTI.

“Saya harap Perdana Menteri akan mengambil cabaran ini untuk menyelesaikan masalah yang berlaku kerana kita tidak dapat menyelesaikannya secara bersendirian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *