Isteri Tuntut Cerai Suami Tak Mandi

Soni menuntut perceraian dengan alasan suaminya tidak mandi. Gambar Agensi

NEW DELHI: Keengganan suaminya untuk menjaga kebersihan diri termasuk mandi dan menggosok gigi, menyebabkan seorang wanita nekad menuntut cerai.

Oddity Central melaporkan, Soni Devi yang berasal dari daerah Bihar Vaishali mengakui tidak tahan lagi untuk meneruskan hidup bersama suaminya, Manish Ram yang mandi sekali saja dalam tempoh 10 hari.

Wanita berusia 20 tahun itu memohon mahkamah untuk meluluskan permohonannya kerana mendakwa suaminya malas memberus gigi, tiada adab dan tidak mengikut etika.

“Saya tidak sanggup lagi tinggal bersamanya dan menanggung semua ini lagi.

“Tolonglah bebaskan saya daripadanya kerana dia menghancurkan hidup saya.

“Lagipun, kami tiada anak dan hubungan juga tidak seperti suami isteri jadi sia-sia jika perkahwinan ini diteruskan,” tulisnya dalam surat tuntutan cerai.

Selain berpisah, Soni menuntut suaminya yang berumur 23 tahun itu memulangkan barangan kemas dan lain-lain hadiah pemberian keluarganya ketika hari perkahwinan mereka.

Sementara itu, Manish Ram, 23, yang bekerja sebagai tukang paip memberitahu portal Times of India yang dia mahu terus hidup bersama Soni dan akan cuba mengubah gaya hidup demi menyelamatkan rumah tangga mereka.

Manakala, Anggota Suruhanjaya Wanita Negeri (SWC) memberi tempoh dua bulan kepada pasangan berkenaan untuk menyelesaikan konflik di antara mereka sebelum merujuk semula kes itu di mahkamah. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *