Tolak Polemik Kebencian Antara Kaum

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, (kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, (tengah) menunjukkan lakaran kaligrafi masing-masing pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 (Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P190 Tawau) di Tawau, hari ini.

TAWAU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat supaya menolak polemik kebencian antara kaum yang boleh merosakkan perpaduan.

Beliau berkata, isu perkauman hanya ditunggangi atau dimainkan oleh golongan pemimpin politik yang muflis (bankrap) yang sudah tewas dalam memenangi hati dan menarik sokongan rakyat.

Katanya, golongan pemimpin terbabit sanggup menggunakan isu kebencian antara kaum kerana terpalit dengan isu rasuah selain mempunyai rekod yang buruk.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, (tengah) menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 (Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P190 Tawau) di Tawau, hari ini.

“Alhamdulillah, di sini suhu politik tidak terlalu panas, akan tetapi suhu politik kaum di Semenanjung agak panas sedikit dan seperti yang selalu saya tekankan harus banyak belajar dari hubungan antara kaum di Sabah yang sudah terjalin sekian lama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 (Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P190 Tawau) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, pembantu-pembantu menteri dan ahli-ahli dewan undangan negeri.

Dalam pada itu, Anwar turut menyokong keputusan kerajaan negeri yang mengambil langkah menangguhkan sementara penerbangan daripada China berikutan wabak Koronavirus atas faktor keselamatan dan kesihatan rakyat sabah.

Jelasnya, tindakan itu juga selari dengan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan wabak Koronavirus sebagai darurat kesihatan global.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *