Lelaki Berkopiah Lari, APMM Tawau Rampas Syabu Dalam Paket Susu Tepung Bernilai RM141,450

TAWAU, 1 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 943 gram dadah dipercayai jenis Syabu yang disembunyikan dalam paket susu tepung dan gula yang  ditinggalkan di Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah APMM Zon Tawau, Mohd Yusni Hussin berkata itu taktik baharu sindiket penyeludupan dadah yang berjaya dikesan oleh pihaknya.

Dalam kejadian jam 8.36 pagi itu, katanya bertindak daripada maklumat risikan menerusi Ops Pluto Timur, sepasukan anggota APMM cuba menghampiri seorang suspek lelaki di kawasan jeti berkenaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan, tetapi suspek berkenaan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota APMM.

“Suspek menyusup dalam kalangan orang ramai di kawasan pasar awam sebelum gagal dikesan.

“Sebelum itu, suspek dilihat meninggalkan beg sandang berwarna hitam bersama satu bungkusan plastik berwarna merah di atas jeti berkenaan,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal pada bungkusan plastik merah itu menemui satu kotak makanan segera yang didalamnya mengandungi satu bungkusan gula dan tepung susu

“Di dalam bungkusan gula itu ditemui tujuh paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu manakala dalam bungkusan susu tepung pula 12 bungkusan plastik disyaki dadah jenis yang sama,” katanya dan dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM141,450.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek cuba menyeludup dadah berkenaan ke negara jiran dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 11 Januari lalu, APMM Tawau turut menggagalkan cubaan menyeludup 17 kilogram Syabu dalam bungkudan teh cina bernilai RM2.5juta di kawasan pesisiran pantai Batu Payung dekat sini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *