Imunisasi Polio: 34,ooo Kanak-Kanak Di Tawau Terima Vaksin Percuma

Sehingga 25 Januari 2020, sebanyak 109,232 daripada 391,040 (27.93%) anggaran kanak-kanak berumur dari 0 hingga 5 tahun di 25 buah daerah negeri Sabah telah diberikan vaksin OPV (Dos 1).

TAWAU, 1 Feb: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau menyasarkan kira-kira 34,000 kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara menerima vaksin polio secara percuma melalui kempen imunisasi polio Sabah pada Jan hingga Mac tahun ini.

Pegawai Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran berkata 43 peratus iaitu kira-kira 14,000 kanak-kanak membabitkan beberapa  kawasan termasuk di Pulau Sebatik menerima imunisasi berkenaan sejak 21 Jan lalu.

“Imunisasi polio dos pertama diberi secara titisan ke mulut (OPV), dan pemberian imunisasi itu akan melalui dua fasa dengan pertama bermula 21 Januari sehingga 21 Februari dan fasa kedua 22 Februari sehingga 21 Mac,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis pelancaran kempen imunisasi polio Sabah peringkat Tawau di Kampung Titingan di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Dalam pada itu Nizam berkata inisiatif pemberian vaksin itu menunjukkan keprihatinan kerajaan bagi memastikan rakyatnya sihat.

Nizam turut menasihati agar ibu bapa yang belum mendapatkan imunisasi untuk anak-anak mereka agar membawa anak mereka  berjumpa dengan pegawai kesihatan sama ada sepanjang kempen berjalan atau ke hospital untuk mendapatkan vaksin secara percuma.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *