Tangki Baharu Berkapasiti 45,000 Galen Akan Dibina Di Kampung Unggun

Peter (kiri) menjelaskan sesuatu ketika ditemui selepas lawatan berkenaan.

KOTA KINABALU: Satu tangki baharu berkapasiti 45,000 galen akan dibina di Kampung Unggun Sepanggar bagi membantu mengatasi masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk sekitarnya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, kawasan perkampungan berkenaan didapati berada di kedudukan tinggi dan kesemua aset keperluan pam air terdahulu tidak dapat menampung bekalan terbabit selain disebabkan masalah tangki air yang tidak mencukupi.

“Berikutan masalah berkenaan, saya telah meluluskan satu pembinaan tangki baharu dengan kos lebih kurang RM700,000 sehingga RM 1 juta untuk keperluan sekitar 200 rumah dengan kira-kira lebih 1,000 penduduk di sini.

“Kerja pembinaan akan dilakukan serta-merta dan berharap kemudahan baharu ini mampu mengatasi masalah air di kampung ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan tangki baharu, di sini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kapasiti pam air akan ditambah agar ianya mampu menyalurkan bekalan air kepada semua pengguna di kampung berkenaan.

Katanya, masalah seumpamanya bukan sahaja dihadapi di sini tetapi seluruh daerah di Sabah berikutan daripada penambahan penduduk di semua daerah.

“Kita juga akui bahawa masalah penyambungan air paip turut menjadi punca kepada masalah air dan kita baru-baru ini sudah melaksanakan pemotongan paip haram di sekitar kawasan ini.

“Masalah kecurian sudah berlaku dari dahulu dan kawasan lain turut berhadapan dengan sambungan paip haram…kita akan membuat pemantauan,” katanya.

Peter turut menasihatkan kepada pemaju yang cuai menyebabkan paip utama pecah agar melaporkan kepada Jabatan Air Negeri Sabah.

Katanya, terdapat di antara pemaju yang tidak bertanggungjawab tidak melaporkan kecuian mereka sehingga menyebabkan penduduk di sekitar berhadapan dengan masalah air.

“Proses penyambungan semula paip pecah perlu ada proses, kita tidak boleh terus sambung, sebaliknya ia perlu melalui proses rawatan sebelum disalurkan semula kepada penduduk kerana takut air itu tercemar,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *