Masyarakat Tawau Disaran Memakai Penutup Mulut & Hidung Sempena Perasmian ‘Chester Street Night Market’

Amrullah (duduk tengah) bersama kakitangan MPT bergambar semasa sidang medianya di MPT.

TAWAU: Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir. Amrullah Kamal menyarankan masyarakat yang hadir pada majlis perasmian Pasar Malam Chester pada hari ini (Jumaat) supaya memakai penutup mulut dan hidung.

Beliau berkata, pemakaian itu sebagai langkah berjaga-jaga berkenaan wabak koronavirus kerana dijangkakan ramai pengunjung yang akan hadir memeriahkan majlis itu nanti.

“Kita berharap semua yang hadir harus memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan wabak itu walaupun setakat ini daerah Tawau belum ada yang disahkan terkena virus itu.

“Pihak MPT juga turut mengambil inisiatif mendapatkan stok penutup mulut dan hidung itu untuk dijual kepada pengunjung yang hadir dengan harga yang berpatutan atau mencari penaja untuk tujuan itu,” katanya semasa sidang medianya di MPT, semalam.

Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata perasmian majlis itu akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dan bermula pada jam 7 malam di Chester Circus, Jalan Chester, di sini.

Pasar malam ini akan menjadi tarikan baharu untuk pelancong dan warga tempatan sekaligus penyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat dan daerah Tawau.

Menurutnya, sambutan peniaga daripada masyarakat Tawau juga sangat menggalakkan. Hal ini kerana, sebanyak 324 tapak gerai daripada 419 di pasar ini sudah ditempah untuk menjual pelbagai jenis produk termasuklah makanan, minuman, kraf tangan dan pakaian.

“Semenjak pasar ini diwujudkan sebulan yang lalu, kita sudah menerima tempahan yang agak memberangsangkan dan kini hanya tinggal 95 tapak gerai sahaja yang masih kosong,” katanya.

Sementara itu, Amrullah berkata pihak MPT juga akan menambah bilang tong sampah supaya tahap kebersihan pasar tersebut sentiasa terjaga.

“Kita akan buat satu kelainan dengan mengadakan tong sampah berjalan. Tong sampah itu nanti akan disorong dan ditulis memo ‘Sayangi Tawau kita’ sebagai alternatif serta usaha menjaga kebersihan di pasar itu,” katanya.

Terdahulu, Amrullah mengharapkan masyarakat Tawau dapat datang beramai-ramai dalam majlis perasmian itu dan mengalu-alukan para peniaga untuk menempah tapak yang masih tersedia kosong kerana pihak MPT sentiasa berusaha menjadikan pasar itu meriah dengan aktiviti-aktiviti berfaedah.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *