Sabah Terus Pantau Kemasukan Pelancong China

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengambil langkah berjaga-jaga dalam memantau kemasukan pelancong China ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata kerajaan negeri memantau semua pelancong yang dari datang China ke Sabah selain Wuhan dan Hubei.

“Kita tidak hanya memantau pelancong yang menaiki penerbangan dari Wuhan dan Hubei sahaja malah kita akan memantau kesemua pelancong dari China yang datang ke sini.

“Sekiranya mereka menunjukkan simptom dijangkiti coronavirus, kita akan terus mengambil langkah secepat mungkin untuk menghantar mereka ke Hospital Queen Elizabeth.

“Pada masa yang sama, sistem pemeriksaan bagi mengesan virus ini juga harus dipertingkatkan lagi selain menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mencuci tangan dan memakai topeng muka,” katanya.

Beliau ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal merasmikan Pesta Ang Pao anjuran Federation of Chinese Associations Sabah bertempat di Dewan Hakka Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Christina turut memberitahu beliau dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bahawa mereka sedang menjejaki tempat yang dikunjungi pelancong 71 tahun yang dikesan mempunyai simptom coronavirus.

“Menerusi taklimat oleh Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, pihaknya cuba mengesan tempat yang didatangi pelancong lelaki dari Wuhan yang melancong ke Sabah pada 19 sehingga 25 Januari lalu.

“Turut difahamkan, pelancong terbabit bergerak di dalam kumpulannya namun dia sahaja yang dikesan mempunyai simptom coronavirus.

“Kita akan terus membuat pemantauan teliti dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kes pertama coronavirus membabitkan seorang pelancong berusia 71 tahun dari Wuhan yang datang ke Sabah.

Pelancong berkenaan menaiki penerbangan Malindo Air OD688 dari Sabah ke Tianjin pada 25 Januari lalu.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *