‘Saya Sedia Terima Dia Semula’

Memikirkan anak, Bella sedia menerima bekas suami, Aliff kembali ke pangkuannya. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad

KUALA LUMPUR: Bella Astillah dengan hati terbuka mengaku sedia menerima bekas suami, Aliff Aziz, kembali ke pangkuannya.

Bella berkata, buat masa ini, keputusan yang bakal diambil akan dibincangkan bersama keluarga.

Namun, tambah Bella, apabila tiba masa yang sesuai, dia dan Aliff akan membuat pengumuman berhubung perkara itu.

“Sebenarnya, sejak berpisah Mei lalu, kami tidak pernah bermusuh… Semuanya demi anak kami, Mohamad Ayden Adrean.

“Saya tidak pernah membenci Alif. Cuma saya lihat perpisahan kami banyak mengajar Aliff dan mematangkan dirinya.

“Saya bukan hendak membuktikan kepada masyarakat dia sudah berubah. Bagi saya, asalkan dia sayang dan ambil berat mengenai anak sudah memadai,” katanya di sini, hari ini.

Bella berkata, dia hanya melakukan yang terbaik untuk Ayden.

“Sekiranya berbaik dengan Aliff adalah keputusan terbaik untuk Ayden, saya akan terima dengan hati terbuka.

“Apatah lagi, Ayden sangat rapat dengan Aliff. Setiap kali berpisah dengan Aliff, dia akan menangis. Ini membuatkan hati saya remuk setiap kali pulang dari menjenguk Aliff di Singapura,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai foto merangkul lengan lelaki yang dikongsi di Instagram, awal bulan ini, Bella tidak menafikan jejaka itu adalah Aliff.

Menurutnya, gambar berkenaan diambil ketika mereka bersama keluarga bersantai di Universal Studio Singapore (USS).

“Netizen hanya tahu mengecam yang negatif. Mereka tidak nampak dari sudut positif terutama untuk kebaikan Ayden.

“Mereka hanya tahu menyuruh saya supaya mencari lelaki lain atau yang lebih baik.

“Tetapi kita tidak tahu nasib pada kemudian hari jika memilih lelaki baharu. Lagipun, dalam keadaan sekarang, saya hanya mahu fokus kepada membesarkan anak. Manalah sempat hendak memikirkan soal pengganti,” katanya.

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016, namun bercerai pada 16 Mei tahun lalu.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *