Kerajaan Negeri Sumbang RM95,000 Jayakan Edward Gostaning Project Sumbit Kinabalu Jasamu Dikenang

Mohd Shafie (empat dari kanan) bersama Richard Soibi (tiga kiri) dan Edward Taning (empat kanan) bersama AJK Penyelaras Projek Edward Gostaning Project Sumbit Kinabalu Jasamu Dikenang.

KOTA KINABALU: Usaha murni kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM95,000 kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu bagi menjayakan program Edward Gostaning Project Sumbit Kinabalu Jasamu Dikenang amat dialu-alukan.

Penyelaras projek, Richard Soibi berkata projek amal itu turut meletakkan sasaran untuk mengutip kira-kira setengah juta bagi mengisi tabung persatuan selain membantu membina beberapa kemudahan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Ranau.

Dalam program itu katanya, seorang peserta orang kurang upaya (OKU) iaitu Edward Taning akan membuat percubaan mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur dengan di pantau oleh ahli jawatankuasa pelaksanaan projek itu yang dianggota beberapa malim gunung.

Richard Soibi (tengah) ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah

“Program pendakian secara mengundur ini kami rancang dimulakan pada 8 hingga 13 Mac sekiranya tidak ada halangan pada waktu itu.

“Beliau (Edward) juga telah menjalani latihan sejak beberapa bulan lalu demi menjayakan program amal ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.

Richard berkata hasil kutipan daripada program itu juga akan digunakan untuk membiayai kemudahan pengangkutan iaitu bas PPDK di daerah berkenaan bagi kegunaan para pelajarnya.

Selain itu katanya mereka mahu membantu membina dewan terbuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bundu Tuhan Ranau dan seterusnya mengisi tabung malim untuk membeli peralatan di asrama malim di Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Edward bertekad utuk melakukan projek pendakian itu selepas kali pertama berjaya melakukannya pada 1992.

“Memang ini satu kelainan kerana idea ini juga sebenarnya datang secara tiba-tiba semasa kami sedang berusaha mencari dana untuk membantu kebajikan Rumah Bukit Harapan.

“Sebelum ini saya membuat percubaan pada 1992 dan seterusnya melakukan perkara yang sama iaitu berjalan secara mengundur sebanyak dua kali dari Sandakan ke Penampang pada 2009 serta Lahad Datu ke Kota Kinabalu pada 2012,” katanya.

Beliau yang berasal dari Kampung Mangkaladon, Tamparuli berharap percubaan kali ini dapat memecahkan rekod dunia sekaligus meletakkan kejayaan itu dalam Buku Rekod Malaysia dan Guinness Book of Record. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *