Penutup Hidung & Mulut Habis Stok Di Beberapa Farmasi Di Sekitar KK & Putatan

Jualan penutup hidung dan mulut laris di Kota Kinabalu. Gambar Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Jualan penutup hidung dan mulut di beberapa farmasi di sekitar daerah ini dan Putatan laris hingga kehabisan stok sejak dua hari lalu.

Tinjauan mendapati pemilik farmasi menunggu stok baharu penutup hidung dan mulut memandangkan permintaan tinggi daripada orang ramai.

Pemilik farmasi, Simon Tim berkata, penutup hidung dan mulut banyak dijual sejak kerajaan mengesahkan wabak koronavirus baharu dikesan di negara ini beberapa hari lalu.

“Dalam sehari sebanyak 20 hingga 30 kotak penutup hidung dan mulut dijual menyebabkan stok cepat habis.

“Ini adalah kali pertama kami mengalami kehabisan stok penutup hidung dan mulut sejak menjalankan perniagaan farmasi 11 tahun lalu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang pengguna, Siti Lija Rae, 22, berkata, dia rakan-rakannya sudah mengunjungi beberapa farmasi di Kota Kinabalu dan Putatan untuk membeli penutup hidung dan mulut, namun hampa kerana kehabisan stok.

“Saya sudah pergi di beberapa premis di Putatan dan Kota Kinabalu, semua penutup hidung dan mulut habis terjual.

“Saya berharap pihak berwajib mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini… sebab wabak (koronavirus) yang melanda di China bila-bila sahaja ada di sini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memantau sebarang perkembangan kehabisan stok penutup hidung dan mulut itu.

Beliau turut meminta orang ramai terus meningkatkan tahap kesedaran terhadap penularan koronavirus baharu.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *