PPM Tahan Dua Lelaki Cuba Seludup Petrol Ke Filipina

Kedua-dua suspek ditahan disyaki cuba seludup petrol ke negara Filipina. – Foto PPM Semporna

SEMPORNA : Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan dua lelaki menyeludup keluar 1,130 liter petrol ke negara Filipina melalui perairan Pulau Boheian, semalam.

Komander (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya yang menerima maklumat berkenaan aktiviti itu bertindak menjalankan Operasi Pensura Khas, kira-kira jam 5 petang.

Kedua-dua suspek ditahan disyaki cuba seludup petrol ke negara Filipina. – Foto PPM Semporna

Beliau berkata melalui operasi itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ketika sedang leka memunggah tong berwarna putih dan biru dari bot ke sebuah rumah yang disyaki dijadikan stor penyimpanan minyak seludup.

“Susulan tangkapan itu, anggota berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 40 tahun di dalam stor berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam stor mendapati 51 tong pelbagai jenis berisi 1,130 liter petrol disyaki cuba diseludup ke negara Filipina,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua minyak petrol yang dimiliki.

Suspek ditahan ketika sedang memunggah tong berisi petrol dari bot menuju ke sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan petrol. Foto Ihsan PPM Semporna

“Kedua-dua suspek ditahan manakala perahu, enjin sangkut dan minyak petrol dianggarkan bernilai RM18,471 dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *