Koronavirus : Hentikan Kemasukan Pelancong China Ke Sabah

Sahar Abdul Majid

SANDAKAN : Kerajaan digesa hentikan kemasukan pelancong dari China ke Sabah serta merta ekoran penularan wabak Koronavirus ketika ini demi keselamatan rakyat.

“Kita mengharapkan Kerajaan Sabah menghentikan kemasukan ini serta merta sehingga keadaan benar-benar terkawal dan selamat,” demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika diminta mengulas berkenaan isu ini.

Katanya lagi kerajaan perlu meningkatkan pengawalan di pintu-pintu masuk utama negeri khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu disamping menempatkan pegawai perubatan bagi memastikan pelancong luar negara bebas dari jangkitan virus itu.

Tambahnya, tindakan ini perlu bagi meredakan kebimbangan rakyat mengenai jangkitan virus ini yang membahayakan kesihatan rakyat.

“Kita sedar sektor pelancongan antara penyumbangan besar kepada ekonomi negeri namun keselamatan nyawa rakyat adalah lebih utama,” tegasnya yang juga YDP Pas Sandakan.

Beliau turut merujuk laporan media antarabangsa yang menyebut Filipina menghantar hampir 500 orang pelancong China dari Wuhan untuk pulang semula ke tempat mereka.

Tambahnya Russia juga mengambil pendekatan sama apabila negera tersebut menggantung penerbangan dari Wuhan.

“Langkah itu diambil demi mengelakkan sebarang risiko jangkitan Coronavirus daripada merebak ke negara itu, justeru kita juga perlu ambil tindakan sama,” ujarnya.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memaklumkan bahawa sejak 10 Januari 2020 sehingga 26 Januari 2020 jam 12 tengah hari, jumlah kumulatif kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan Coronavirus adalah 23 kes.

Daripada jumlah 23 kes PUI ini, terdapat hanya satu kes yang positif iaitu seorang lelaki warganegara China berusia 40 tahun.

Sementara itu, 18 kes PUI adalah negatif dan telah discaj daripada hospital, manakala empat lagi kes PUI ini yang diletakkan dalam isolasi di beberapa buah hospital akan diketahui keputusannya dalam masa terdekat.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *