Kobe Bryant, Anak Perempuan Maut Nahas Helikopter

Kobe Bryant dan anak perempuannya, Gianna Bryant disahkan maut dalam nahas helikopter di Los Angeles. – Foto AFP

LOS ANGELES : Sembilan individu disahkan maut dalam nahas helikopter yang turut meragut nyawa bintang NBA, Kobe Bryant dan anak perempuannya, Gianna Bryant, lapor sumber rasmi Los Angeles semalam.

Sherif Los Angeles, Alex Villanueva berkata, lapan penumpang dan seorang juruterbang maut dalam tragedi itu.

“Tiada siapa yang terselamat. Helikopter itu membawa sembilan individu iaitu lapan penumpang dan seorang juruterbang,” kata Villanueva.

Gambar Kobe Bryant dipamerkan di skrin besar dekat Staples Center, Los Angeles. – Foto Reuters

Laporan awal menyebut, pesawat terbabit dinaiki lima individu apabila ia terhempas akibat cuaca buruk di Calabasas, pinggir Los Angeles.

Sementara itu Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti ketika mengesahkan nahas itu berkata, seluruh bandar bersedih dengan insiden tidak diduga itu yang meragut nyawa Bryant, ikon NBA .

“Seluruh Los Angeles turut berduka cita bersama seisi keluarga Bryant, atas pemergian dua insan kesayangan mereka,” kata Garcetti menerusi Twitter.

Gianna adalah antara empat anak bintang lagenda NBA itu bersama isterinya, Vanessa.

Bryant dan Gianna dilaporkan dalam penerbangan ke sebuah perlawanan yang turut disertai remaja berkenaan apabila pesawat terbabit terhempas.

“Seluruh keluarga NBA amat bersedih dengan pemergian penuh tragis Kobe Bryant dan anak perempuannya, Gianna,” kata Pesuruhjaya NBA, Adam Silver dalam satu kenyataan berasingan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *