Semua Penerbangan Masuk dan Keluar Dari Wuhan Ke Sabah Dihentikan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Semua penerbangan dari Kota Kinabalu ke Wuhan, China telah dihentikan berikutan penyebaran wabak koronavirus yang melanda wilayah berkenaan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Beliau berkata setiap minggu sebanyak 14 penerbangan dijadualkan ke Wuhan, China dan penerbangan itu akan beroperasi semula apabila Wabak Koronavirus dapat diselesaikan.

“Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri merakamkan gambar bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew serta dif kenamaan lain sebaik tiba bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hakka, Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut dilaporkan sebelum ini, Kerajaan China telah melarang rakyatnya dari wilayah Wuhan untuk keluar negara serta menghentikan penerbangan keluar.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Ditanya sama ada wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pengunjung atau pelancong ke Sabah, Christina berkata tidak dinafikan bahawa wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pelancong khususnya daripada China.

“Namun kita akan mengambil beberapa inisiatif lain seperti saya akan di negara lain seperti Eropah dan Australia untuk mempromosikan pelancongan yang ada di Sabah.

“Untuk tahun ini kita belum meletakkan sasaran kehadiran pelancong kerana kita telah menghadapi cabaran bermula awal tahun apabila adanya wabak koronavirus…dan saya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pelancongan Sabah mengenai perkara itu sebelum ia diumumkan,” katanya.

Beliau berkata kehadiran pelancong ke Sabah pada tahun lepas telah melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Sasaran kita adalah empat juta pelancong ke Sabah. Namun kita berjaya menerima sebanyak 4.195 juta pelancong,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus, khususnya pemeriksaan kesihatan kepada individu yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Kita bukan sahaja membuat pemeriksaan kepada pelancong…kita juga buat pemeriksaan terhadap rakyat kita yang baru balik dari melancong. Kita tidak tahu dari mana mereka melancong, oleh itu mereka juga harus mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai beberapa hotel di Sabah telah mengeluarkan larangan memakai penutup mulut kepada pekerjanya untuk menjaga hati pelancong, Mohd Shafie berkata pihaknya akan melihat perkara itu.

“Apa yang penting adalah menjaga di pintu masuk Sabah. Namun saya akan melihat isu ini dan saya yakin tidak semua hotel mengeluarkan arahan itu. Kita akan bekerjasama erat dengan kementerian kesihatan untuk membendung masalah ini,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *