Koronavirus: Dua Beradik Dari China Dikuarantin Di Langkawi

LANGKAWI: Dua kanak-kanak perempuan dari China dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, hari ini kerana mempunyai simptom yang disyaki wabak Novel Coronavirus (nCoV).

Difahamkan mereka yang berusia empat dan dua tahun bersama ibu bapa melancong ke Langkawi sejak Jumaat lalu.

Mereka dimasukkan ke HSM pada 1 tengah hari.

Pengarah HSM Dr Mansor Ismail berkata, pihaknya sedang membuat pemeriksaan lanjut berdasarkan simptom dan sejarah perjalanan mereka sebelum tiba di Langkawi.

“Setakat ini, dua kanak-kanak perempuan itu cuma disyaki sahaja dan kita sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap simptom yang ada pada mereka.

“Ibu bapa mereka bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda berkaitan wabak nCoV,” katanya ketika dihubungi.

Mansor berkata, keluarga itu berasal dari Guangdong, China memasuki negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin lalu, sebelum mengambil penerbangan berikutnya ke Langkawi pada Jumaat.

Katanya, dua beradik itu kemudian menunjukkan tanda kurang sihat ketika berada di Langkawi dengan demam, selesema dan batuk.

Simptom itu bersifat umum namun, pemeriksaan lanjut perlu dibuat mengikut prosedur ditetapkan kerana mereka dari China yang kini dilanda wabak nCoV.

Beliau memaklumkan sampel keluarga berkenaan turut dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk penilaian lanjut.

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk dan pelancong di Langkawi untuk tidak bimbang kerana pesakit hanya disyaki dan belum disahkan pembawa nCoV.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *