17 PTI, Dua Penagih Dadah Ditahan Dalam Ops Gasak Di Semporna

PTI yang ditahan dalam operasi terbabit.

SEMPORNA : 17 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam Ops Gasak siri 1/2020 di Kampung Selamat di sini.

Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata operasi yang diadakan bermula jam 3 pagi itu memberi tumpuan terhadap kawasan setinggan yang disyaki menjadi tempat persembunyian PTI dan kawasan kegiatan jenayah lain seperti penyeludupan syabu dan rokok.

Menurutnya, dalam operasi terbabit seramai 575 orang diperiksa dan setelah tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati seramai 17 orang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Wayar yang dirampas oleh pihak SESB.

“Kesemua PTI terbabit yang terdiri daripada 13 lelaki dan empat perempuan ditahan dan diserahkan kepada JIM untuk tindakan selanjutnya sebelum dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini. 

Dalam operasi yang sama, Hazani berkata anggotanya juga telah menahan dua lelaki berumur 25 tahun disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram yang disembunyikan dalam kenderaan.

“Hasil ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis syabu dan kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Semporna untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi

Hazani berkata, operasi yang dilakukan bersama pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) itu juga turut  merampas 50kg kabel/wayar pelbagai jenis yang digunakan untuk tujuan penyambungan haram di kawasan berkenaan.

“Saya sangat berterima kasih dengan semua pihak termasuk IPD Semporna, JIM, JPN, JKM, ATM, APMM dan SESB kerana membantu menjayakan Ops Gasak ini,” katanya lagi.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *