‘Jangan Lupa Ibu Bapa, Hormati Adik-Beradik’, Saya Restu Sumandak Saya Peluk Islam – Ibu

Anti Kilin bersama kedua-dua anaknya

KOTA KINABALU: Tiada apa yang diharapkan oleh seorang ibu selain mendoakan anaknya bahagia dengan jalan dipilih walaupun masing-masing berlainan agama.

Bagi, Rujilin Gomili, 43, walaupun terpisah agama tidak sesekali hubungan kekeluargaan dan ikatan persaudaraannya terputus.

Baginya sama ada Islam atau Kristian, kedua-dua anaknya berkongsi rahim dan susu yang sama dan seharusnya sentiasa meletakkan ibu sebagai syurga.

Anak kedua Anti Killin

Rujilin yang kini menetap di Manggatal, Kota Kinabalu berkata, anak sulungnya, Carolaisyelly Phang Chin Yen, 22, atau nama Islamnya, Noor Aisyah Umairah Abdullah memeluk Islam pada 29 April tahun lalu, tarikh sama anaknya itu bertunang.

“Ketika bakal suami anak datang berjumpa untuk menyatakan hasrat untuk memperisterikannya, hanya satu pesan saya kepadanya agar dia dapat mendidik anak saya menjadi muslimah sejati.

“Saya tidak mahu anak saya dibiarkan tanpa bimbingan dalam menjalani kehidupan sebagai saudara baru, untuk mengharapkan saya membimbingnya, saya tidak berapa tahu selok-belok Islam.

Anak Sulung Anty Kilin

“Saya serahkan tanggungjawab membimbing anak kepada bakal suami dan keluarga mentuanya, biarlah dia menjadi seorang muslim sejati serta dan melakukan perkara wajib dan bukan atas nama Islam semata-mata,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia tidak mahu anaknya itu menjalani kehidupan sebagai mualaf tanpa bimbingan dan pengorbanannya sekeluarga menjadi sia-sia.

“Terlampau banyak kes saya dengar mualaf yang kembali ke agama asal selepas ditinggalkan suami, saya tidak mahu anak menerima nasib sama.

“Saya hormat pilihannya untuk memeluk Islam, biarlah dia bahagia dengan jalan dipilih disamping orang tersayang, sebagai ibu saya hanya dapat mendoakan perkara baik dalam hidupnya,” katanya yang juga penganut Kristian Katolik manakala suaminya beragama Buddha.

Menceritakan mengenai ‘penghijrahan’ anak keduanya pula, Carollystica Phang Chin Ching, 20, yang mahu memeluk agama Kristian aliran Sidang Injil Borneo (SIB), Rujilin berkata, anak perempuannya mahu memberi tumpuan kepada gereja supaya dapat menjadi manusia lebih baik.

“Anak mempunyai keluarga angkat mengikut aliran SIB, dia meminta untuk memasuki sekolah Alkitab untuk menjadi manusia lebih baik, tiada apa yang lebih bahagia untuk seorang ibu apabila anaknya mahu menjadi baik walaupun berbeza agama.

“Kalau saya nilai diri saya, mungkin saya tidak dapat membimbing dia tetapi aliran agama barunya dapat membimbingnya,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, restu dan doa ibu untuk anak akan sentiasa bersama mereka walaupun di mana mereka berada dan situasi mereka hadapi.

“Saat anak sulung memilih untuk memeluk Islam, saya memberikan restu seikhlasnya dan meminta bakal suaminya untuk menjadikannya sebaik-baik wanita muslimah, begitu juga apabila anak kedua meminta untuk memasuki sekolah agama.

“Apa lagi yang saya boleh katakan selain memberi restu untuk hidup yang mereka sudah pilih, anak saya memang baik walaupun saya bukan ibu yang terbaik,” katanya.

Menurutnya, harapannya semoga mereka dimurahkan rezeki serta dikurniakan kesihatan yang baik-baik.

“Jangan lupakan ibu bapa walaupun berlainan agama, mereka tetap adik beradik, anak saya dan sentiasa hormat menghormati sesama adik-beradik,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *