Coronavirus: KKIA Dalam Keadaan Berjaga-Jaga

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meningkatkan tahap pengawasan yang tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) berikutan penularan coronavirus di Wuhan, China.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, KKIA kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan saringan kesihatan dilakukan terhadap semua penumpang penerbangan antarabangsa.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon bersama Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi di KKIA pada awal pagi tadi.

“Malah, kita sudah mula menjalankan saringan kesihatan di pintu keluar pesawat selepas ‘aerobridge’ sebelum pemeriksaan Imigresen bagi penerbangan dari Wuhan, China sejak 4 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Frankie berkata, sekiranya ada penumpang berada dalam mencurigakan, pengasingan akan terus dilakukan terhadapnya untuk mencegah penularan virus berlaku.

Namun, sehingga kini, belum ada sebarang kes penularan coronavirus dilaporkan berlaku di Sabah.

Menurutnya, beliau tahu Tahun Baharu Cina semakin hampir dan ramai penduduk Sabah yang tinggal di luar negara akan pulang meraikan Tahun Baharu Cina.

Maka, langkah berjaga-jaga yang lebih tinggi perlu diambil berikutan penularan coronavirus di Wuhan.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak panik.

“Kerajaan menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan dalam kehidupan seharian dengan memakai topeng muka, membasuh tangan dengan sabun lebih kerap dan elakkan berada di tempat yang sesak,” ujarnya.

Pada 3 pagi tadi, Frankie bersama Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi melakukan pemantauan dan pemeriksaan kemudahan saringan kesihatan yang ditempatkan di KKIA.

Katanya, beliau tahu orang awam sangat mengambil berat penularan coronavirus.

Atas sebab itu, beliau bersama Christina datang mengadakan lawatan ke KKIA untuk melihat sendiri kemudahan dan prosedur saringan kesihatan yang dilakukan terhadap semua penumpang penerbangan antarabangsa dan kru kapal yang bertugas.

Semua penumpang dan kru penerbangan antarabangsa dilihat melalui ‘Thermal Scanner’ yang ditempatkan di KKIA sebelum kaunter pemeriksaan Imigresen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *