CCTV Bongkar Kegiatan 6 Pencuri Kedai Runcit

Kedai runcit yang dipecah masuk

KOTA BELUD: Polis menahan enam lelaki termasuk pelajar sekolah selepas didapati memecah masuk sebuah kedai runcit di Kampung Pirasan, di sini, 18 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi dikesan apabila pemilik kedai berusia 56 tahun mendapati kedai runcit miliknya dipecah masuk semasa hendak memulakan perniagaan seawal jam 6 pagi.

Barang yang berjaya dirampas semula oleh polis

“Mangsa mendapati pintu grill kedai serta kunci mangga dirosakkan dan suspek dipercayai masuk ke dalam kedai melalui sliding tingkap yang dibuka.

“Sebaik diperiksa mangsa kehilangan beberapa barangan berharga termasuk mesin penyimpan wang, rokok serta sabun mandi pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bertindak dengan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengenal pasti enam suspek yang terbabit dalam kejadian ini melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Semua suspek berusia 13 hingga 18 tahun termasuk pelajar tingkatan dua berjaya ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sini.

“Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai dilarikan dari kedai mangsa termasuk 30 kotak rokok pelbagai jenama, 10 buku sabun jenama terkenal dan tujuh keping logam dipercayai komponen mesin daftar wang tunai.

“Semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *