Lelaki Maut Ditetak Pada Leher Di Inanam

Anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui mati akibat ditetak dengan benda tajam di hadapan sebuah warung, Kampung Inanam Laut di sini, tengah malam tadi.

Mangsa Jimboy Basal, 40, ditemukan dengan kesan tetakan pada leher oleh anak lelakinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran lokasi kejadian pukul 12.30 tengah malam.

Difahamkan, sebelum kejadian anak lelaki mangsa berusia 14 tahun ditegur oleh empat lelaki termasuk seorang sepupu mereka menanyakan lokasi bapanya.

Dia bagaimanapun tidak mengendahkan lalu beredar menuju ke Suria Inanam.

Ketika dalam perjalanan pulang dia terkejut apabila keempat-empat lelaki itu berlari yang mana dua suspek menaiki kereta manakala dua lagi menuju ke arah hutan.

Ketika menuju jalan ke rumahnya, dia melihat tompokan darah di atas jalan lalu mengekori darah itu sebelum terkejut melihat bapanya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pihaknya yang menerima laporan pada pukul 1.50 pagi bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati mangsa sudah meninggal dunia dengan kesan luka dileher dipercayai ditetak menggunakan benda tajam.

“Motif kejadian belum dapat dikenal pasti namun pagi tadi anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan ini,” katanya ketiga dihubungi hari ini.

Habibi berkata mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Quenn Elizabeth (HQE I) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Turut berada di lokasi kejadian Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Unit Forensik IPK dan bantuan anjing pengesan (K9).

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *