‘Kick’ Sampai Rempuh Anggota AADK

Antara suspek yang ditahan.

KOTA KINABALU: Seorang penagih dadah yang dalam keadaan khayal bertindak merempuh badan dua anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika ditahan dalam Ops Cegah di rumahnya di Kampung Tebobon, di Kota Kinabalu, semalam.

Ketika serbuan, lelaki berusia 44 tahun itu bertindak agresif apabila anggota AADK Kota Kinabalu yang diketuai Zakry Mat Zudin cuba menahannya kerana kononnya tidak mengambil dadah.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan anggota AADK, mendapati suspek dipercayai baru saja menghisap syabu.

Pemeriksaan lanjut turut menemui gam dan sebilah parang yang disimpan pada pinggang lelaki itu.

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, suspek terbabit antara lima lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah antara jam 10 hingga 3 pagi semalam.

“Operasi dijalankan di empat kampung di Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang. Kita menahan lima lelaki kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati semua mereka didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Lawrence berkata, semua suspek berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Pihak AADK Kota Kinabalu akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *