Tugu Peringatan Petagas Dijangka Diubahsuai Tahun Ini

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew (kiri) ketika hadir pada Upacara Memperingati Mangsa Perang Dunia Kedua di Taman Tugu Peringatan Petagas. – Foto DBKK

PUTATAN: Perancangan untuk kerja pengubahsuaian Tugu Peringatan Petagas sebagai tapak bersejarah dan tumpuan pelancongan dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata pemaju yang dilantik sudah menunjukkan pelan pembangunan siap kepada pihaknya.

“Pihak saya sudah melantik pemaju dan mereka juga sudah menunjukkan pelan pembangunan yang siap sepenuhnya.

Gambar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

Pelan terbabit turut merangkumi bangunan dewan peringatan bagi tujuan, meletakkan gambar sejarah berkaitan.

“Pelan berkenaan sudah dihantar kepada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan kini sedang menunggu proses kelulusan. Jika semua berjalan lancar, kerja pembinaan dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Bangunan dewan peringatan terbabit dapat menyimpan rekod sumbangan wira Sabah gugur ketika Perang Dunia ke-2, selain menjadi antara tumpuan utama pelancong,” katanya.

Gambar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

Beliau ditemui selepas menghadiri program Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Dunia Kedua di sini, pagi tadi mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu, beliau turut mengulas kes penculikan di perairan Tambisan, baru-baru ini yang akan memberi kesan, Tahun Melawat Malaysia 2020 khususnya Sabah.

“Kes penculikan bukanlah perkara yang bagus dan sememangnya akan turut memberi kesan pada Tahun Melawat Malaysia 2020 ini.

“Saya juga sudah membuat laporan mengenai beberapa tempat berpotensi tinggi penculikan dilakukan, berdasarkan rekod lepas kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Beliau sudah pun berbincang dengan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),untuk meletakkan lebih ramai tenaga anggota di beberapa tempat berkenaan, selain lebih sentiasa memantau pergerakan penculik dan pertukaran maklumat bersama pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Mengenai kes Coronavirus di Wuhan, China yang makin meningkat, Christina memaklumkan pihaknya akan memeriksa dengan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mengenai langkah pencegahan.

“Pihak saya akan periksa semula dengan Datuk Frankie Poon Ming Fung mengenai langkah pencegahan virus Coronavirus dari merebak ke Sabah.

“Difahamkan, pihaknya memastikan untuk menempatkan pegawai kesihatan di lapangan terbang untuk menjalankan pemeriksaan penumpang penerbangan dari Wuhan dan tempat lain yang terjejas akibat virus berkenaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *