Polis Cari Saksi Bantu Siasat Kes Papagomo Diserang Di KKIA

KOTA KINABALU – Polis sedang mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung insiden Exco Pemuda UMNO, Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo didakwa diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis akan memanggil pihak terlibat dalam masa terdekat.

“Saksi dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil segera bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pagi tadi, Muhammad Azri telah membuat laporan polis selepas insiden ‘diserang’ sekumpulan lelaki pada jam 7.30 malam di KKIA

Muhammad Azri dalam kenyataan di laman media sosial Facebooknya mendakwa, beliau dipukul sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Saya harap pihak polis tidak mengabaikan laporan yang saya buat ini walau siapa pun mereka itu yang bertindak ganas menyerang saya,” katanya.

Dalam laporan Bernama sebelum ini, Warisan turut menafikan terlibat dalam insiden kekerasan ke atas Muhammad Azri.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, Warisan tidak tahu-menahu mengenai kejadian berkenaan sehinggalah ia ditularkan.

Menurutnya, Warisan tidak akan menyokong mana-mana budaya samseng kerana ia tidak diterima di Sabah.

SinarHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *