Manipulasi PSS Punca Kekalahan Warisan Di Kimanis

Peter Anthony

TAMBUNAN: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony melihat kekurangan pemahaman dan manipulasi terhadap isu Pas Sementara Sabah (PSS) oleh pembangkang antara punca kekalahan Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Beliau berkata, Warisan menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan mengakui bahawa ada keluhan rakyat yang perlu didengar.

Peter berkata, kerajaan pasti akan mencari mekanisme baharu untuk menyelesaikan permasalahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

“Bagi saya kemungkinan rata-rata masyarakat mahupun pengundi di kawasan Kimanis ini tidak begitu faham tentang pelaksanaan PSS.

“Apa pun kita menerima dan sudah pasti akan ada penambahbaikan daripada segi macam mana kita mahu menyelesaikan masalah PATI ini.

“Tapi mungkin ramai yang tidak faham, pendekatan kita dalam mencari satu mekanisme baru bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian bantuan kepada keluarga Julius Steven Apak yang kehilangan tempat rumah akibat kebakaran di Kampung Monsok Ulu, Tambunan, di sini kemarin.

PRK Kimanis yang diadakan pada 18 Januari dimenangi calon Barisan Nasional Datuk Mohamad Alamin dengan majoriti 2,029 undi.

Mohamad memperolehi 12,706 undi menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang mendapat 10,677 undi.

Dalam perkembangan lain, Peter menolak dakwaan Warisan terlibat dalam insiden serangan ke atas Papagomo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Ahad lalu.

Beliau berkata, politik keganasan bukan budaya parti Warisan.\

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *