Kerajaan Perlu Akur Kehendak Rakyat Tolak PSS: Pisaan

Richard Mazagi

KOTA KINABALU: Persatuan Rungus di daerah Pitas menggesa kerajaan agar mematuhi kehendak rakyat yang menuntut penolakan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Presiden Persatuan Rungus Pitas Sabah (Pisaan), Richard Mazagi melalui kenyataan akhbar hari ini berkata perundingan diantara kerajaan Malaysia and Filipina perlu diadakan supaya pejabat kedutaan negara itu dapat dibuka di negeri ini.

“Warganegara Filipina yang berada di Sabah perlu mengurus pasport mereka di sini untuk memudahkan mereka pulang ke negara asal. Biar mereka uruskan dokumen sendiri, bukan kita yang bersusah-payah keluarkan pas untuk mereka.

“Manakala bagi mengetahui kad pengenalan yg telah dikeluarkan dulu palsu atau tulen, saya berpendapat kerajaan perlu dengan serius melaksanakan gesaan Upko yang mencadangkan supaya semua kad pengenalan Malaysia di Sabah dibatalkan termasuk MyKad yang dikeluarkan kepada warga asing menerusi cara yang meragukan.

“Cadangan Upko untuk mendaftarkan MyKad semula menggunakan teknologi biometrik dan pengenalan wajah adalah relevan, seperti mana yang digunakan di Qatar dan India,” katanya.

Richard juga berpendapat pemilikan kad IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci harus ditamatkan dengan menghantar mereka pulang ke Filipina.

Tindakan menghantar mereka pulang ini, katanya, akan menghapuskan keraguan warga tempatan yang merasa tidak senang dengan keberadaan mereka di Sabah.

“Bagi pekerja asing pula, tempoh perkhidmatan mereka perlulah dihadkan.

“Setelah pas kerja mereka tamat, mereka perlulah pulang ke negara asal, manakala mana-mana syarikat tidak boleh mengambil mereka lagi dan jika memerlukan pekerja lagi, mereka harus mengambil pekerja baharu.

“Pemegang IMM13 adalah untuk pelarian perang, dan kad ini dikeluarkan ketika selatan Filipina bergolak. Memandangkan perang sudah tamat, maka wajarlah mereka pulang ke negara asal,” katanya.

Richard berkata dia menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengatakan akan mengkaji semula PSS dan berbincang dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berkenaan isu tersebut, berikutan kekalahan Parti Warisan Sabah di pilihanraya kecil Kimanis baru-baru ini.

“Saya berharap kajian semula dan perbincangan dengan kerajaan persekutuan akan membuahkan hasil yang dituntut majoriti rakyat Sabah agar pelaksanaan PSS ini dibatalkan serta-merta,” ujarnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *