Serang Guru Tabika Di Semporna, 6 Sekeluarga Dibicara 23 – 25 Mac Depan

Faujiah ditemani suaminya

SEMPORNA: Kes enam sekeluarga serang guru Tabika KEMAS 21 Oktober tahun lalu akan dibicarakan pada 23 hingga 25 Mac depan di Mahkamah Majistret Semporna.

Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes semalam dan pihak pendakwaan akan memanggil seramai 10 saksi sepanjang peringkat pendakwaan selama tiga hari itu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan salinan gambar berwarna diberikan kepada peguambela selepas salinan yang diberikan sebagai eksibit semalam ini hanya berwarna hitam putih.

Ferhanshah turut membenarkan jaminan ke atas semua tertuduh iaitu Kinnau Ampong, 62, suaminya, Abd Wahab L Saad, 65, Elly Zurina Abdul Wahab, 40, Mohd Nasuha Abdul Wahab, 29, Mohd Nizam Afiq Abdul Wahab, 18, dan Sufian Maizin, 32, dilanjutkan.

Terdahulu, enam sekeluarga terdiri daripada pasangan suami isteri, tiga anaknya dan seorang anak saudara didakwa mencederakan Faujiah Piong, 35, dengan senjata di Tabika KEMAS Kampung Sungai Buaya, dalam daerah Semporna, pada 21 Oktober 2019, jam 8 pagi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Manakala, tiga daripada mereka iaitu Mohd Nasuha, Mohd Nizam dan Sufian turut dituduh menggunakan kekerasan ke atas Fauziah dengan niat mencabul kehormatannya, pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Sehubungan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Jamal Tampak, manakala tertuduh diwakili peguam Hamid Hamzah Mydin bagi kedua-dua pertuduhan.

Selain itu, keluarga mangsa melantik Mohd Luqman Syazwan Zabidi sebagai peguam pemerhati sepanjang prosiding berlangsung.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *