“Saya Tidak Dapat Melawan Kerana Ada Antara Mereka Bersenjata Seperti Parang & Kerambit

Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris membuat laporan polis, malam semalam, berhubung kejadian diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Wan Muhammad Azri yang dikenali sebagai Papagomo membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, pada jam 7.40 malam.

Dia mendakwa ditendang, ditumbuk dan dipukul kira-kira lapan lelaki ketika berada di kaunter tiket lapangan terbang berkenaan.

“Ketika kejadian, saya berada di kaunter untuk mendaftar dan didatangi seorang lelaki yang bertindak memukul saya dari arah belakang. Saya berlalu pergi kerana tidak mahu mencetuskan pergaduhan di kaunter berkenaan.

“Namun, secara tiba-tiba sekumpulan lelaki meluru ke arah saya dan saya bertindak melarikan diri, namun ditarik menyebabkan saya terjatuh lalu ditendang berulang kali.

“Saya tidak dapat melawan kerana ada antara mereka bersenjata seperti parang dan kerambit. Mujur ada anggota polis yang datang meleraikan keadaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan kejadian itu, dia mengalami kecederaan dan sakit di bahagian leher, muka, belakang badan serta jari.

Katanya, dia mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik di Titiwangsa, hari ini, sebelum ke balai polis untuk dirakam keterangan pada jam 4 petang.

Dia mendakwa sebelum kejadian itu sudah mendapat maklumat akan ‘diserang’ namun tidak menyangka ia berlaku di lapangan terbang yang mempunyai kawalan keselamatan serta tumpuan pelancong.

“Saya berharap polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tanpa kompromi demi keselamatan serta keamanan negara. Ini berkaitan isu keselamatan bukan politik,” katanya.

Portal berita Harian Metro kelmarin melaporkan video berdurasi satu minit lapan saat memaparkan Wan Muhammad Azri cuba diserang sekumpulan lelaki di KKIA tular di media sosial.

https://www.facebook.com/papaazri2020/posts/186960536037634?xts%5B0%5D=68.ARAiz5vYigWPO7-YXEC1EKuToNEeyUxk0ABI4xCEByEEqpMPi2mMlhfAPgGPL_PAbtxCFgOLGvptuMwvEjfLTwye7B_SbX5yhp0c5P8q1QyMtLNfDCLTFEhJXAC618dn4xrcyZARxU_Ts6uG1nYNHIRQK3H4pdxFTk3h_A_ZfKJYDs9oXjeIq2CDPUQSpXAXiqNNkPYB17c2hGjbS6aCrehyYmkr4bM07D8WbdvTAxbbIlWDlF3OrxW5aRfVI_raG7KV7466S6K3Qv-Rr6NHsFChXPyzuN5pYbUc3_rRJa1k8XI67eTBbh0ywaWapTELyEVTfF0YyRzldJMmtxr4qWM&tn=-R

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *