Polis Siasat Insiden Serangan Terhadap Papagomo

Datuk Omar Mammah

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang menjalankan siasatan susulan insiden Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya akan memanggil kedua-dua pihak yang terbabit di dalam insiden itu seperti di dalam rakaman video yang ditular di media sosial bagi tujuan siasatan lanjut.

Justeru katanya, saksi-saksi kejadian dan orang ramai yang melihat insiden itu untuk tampil membantu siasatan polis.

“Saksi kejadian dan orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan apabila dipanggil untuk berbuat demikian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya menerusi kenyataan medianya, hari ini.

Omar berkata, pihaknya memandang serius kejadian ini dan siasatan akan disegerakan sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Selepas kejadian itu, Papagomo membuat laporan polis di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur pada jam 2.30 pagi tadi.

Terdahulu, kira-kira jam 7.30 malam tadi, Papagomo diserang sekumpulan lelaki ketika sedang mendaftar di salah satu kaunter di KKIA.

Kejadian itu menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik dalam laman sosial Facebook (FB) dan turut dikongsikan di aplikasi WhatsApp.

Rata-rata komen orang ramai tidak bersetuju dengan tindakan ganas individu berkenaan kerana ia memberikan imej buruk pelancong terhadap negeri Sabah.

Difahamkan, antara turut menyerang Papagomo adalah Pemimpin Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Datu Akjan Datu Ali Muhammad

Insiden itu dipercayai daripada tindakan Papagomo mengoyak gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika mengadakan demonstrasi jalanan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *