Pemuda PBS Gesa Azis Jamman Letak Jawatan

Christopher Mandut. Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christopher Mandut hari ini menggesa Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman meletakkan jawatan kerana memaksa rakyat Sabah menerima Pas Sementara Sementara Sabah (PSS).

Tegas Mandut Azis sangat lantang bersuara menyokong perlaksanaan PSS, terutama semasa pilihan raya kecil Kimanis baru-baru ini, sambil menambah bahawa dokumen yang kononnya untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah bukan sahaja membawa kemudaratan tetapi juga menjadi ancaman kepada kedaulatan negeri dan negara.

“Kemenangan Barisan Nasional baru-baru ini di Kimanis menghantar amaran kuat kepada kerajaan memerintah bahawa rakyat Sabah menolak PSS.

“Mesej itu sangat jelas. Pengundi di Kimanis mewakili pandangan semua, dan sebagai rakyat asal Sabah, kami menolak seketas-kerasnya idea kerajaan yang memerintah untuk menyelesaikan isu pendatang tanpa izin melalui PSS.

“Kami menyeru Kerajaan Pakatan Harapan-Warisan untuk tidak melaksanakan idea tersebut … kita tidak perlukan PSS. Pendatang tanpa izin mesti dihantar semula ke negara mereka,” kata Mandut.

Selain mengucapkan tahniah kepada calon BN Datuk Mohamad Alamin dari Umno kerana berjaya menawan semula Parlimen Kimanis, dengan majoriti 2,029 undi terhadap calon Warisan Datuk Karim Bujang, Mandut juga berbangga kerana pengundi memahami pentingnya menolak PSS yang mengundang kontroversi demi kebaikan generasi akan datang.

“Rakyat Sabah turut berkongsi sentimen pengundi Kimanis, kita perlu menolak rancangan perlaksanaan pas tersebut demi menjaga kedaulatan negara kita.

“Kami menggesa agar beliau (Azis) meletak jawatan timbalan menteri  kerana rakyat jelas menentang idea perlaksanaan PSS. Kemenangan BN di Kimanis juga mencerminkan penolakan terhadap idea Warisan menggunakan PSS untuk menyelesaikan kehadiran besar pendatang tanpa izin di Sabah.

“Beliau telah bergerak ke seluruh kawasan dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat dan berusaha keras untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap pelaksanaan PSS. Namun semua usaha mereka ternyata sia-sia, kerana akhirnya rakyat memutuskan untuk menolak PSS,” kata Mandut.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *