Kerajaan Sabah Awasi Pintu Masuk Elak Virus Luar Negara

Christina menjelaskan isu semasa kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memastikan pintu ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) diletakkan alat saringan kesihatan bagi memeriksa setiap pelancong, dalam usaha menyekat kemasukan virus dari luar negara.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata negeri ini digemparkan dengan penularan virus seperti Influenza A (H1N1) dan bersedia mengelak kemasukan Virus Misteri Wuhan mirip Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Katanya, beliau sudah berhubung dengan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon mengenainya.

“Saya bertanya sama ada terdapat pegawai perubatan atau alat saringan kesihatan ditempatkan di pintu masuk ketibaan LTAKK khususnya kepada pelancong berasal dari Wuhan China,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Logo Baharu `Enchanting Sabah’ dan majlis Makan Tengah Hari Bersama Pengamal Media sempena Tahun Baharu Cina 2020, di sini semalam.

Beliau berkata, menteri terbabit sendiri akan turun ke LTAKK untuk mengadakan pemantauan bagi memastikan alat saringan kesihatan dan pegawai kesihatan ditempatkan di lapangan terbang.

Dalam pada itu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut menjelaskan kesatuan dalam Pakatan Harapan serta sekutunya di Sabah iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan UPKO masih kukuh.

Katanya, kesatuan sangat penting khususnya sekiranya terdapat beberapa parti yang bergabung untuk menubuhkan kerajaan.

“Ini sesuatu yang kita boleh atasi, sebab setiap parti kerajaan hari ini sangat ikhlas dalam melaksanakan tugasan,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *