Najib Nak Belanja Karim Bujang Nasi Lemak Ikan Bilis ‘Crispy’

Selepas BN mendapat kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis semalam, bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat Sabah sambil memberikan sindiran halus kepada calon Warisan, Karim Bujang.

Merujuk kepada kenyataan Karim sebelum ini bahawa beliau lebih elok meluangkan masa bersama cucu daripada berkempen di Kimanis, Najib dalam satu hantaran Facebook berkata beliau hari ini kembali ke Kuala Lumpur untuk menemui ahli keluarganya.

“Saya balik KL jumpa anak-anak, cucu saya hari ini. Kalau nak ikut, boleh je.

“Saya belanja nasi lemak. Nasi lemak dengan ikan bilis crispy. Bukan smelly slimy anchovies (berbau hanyir),” katanya merujuk kepada hantaran tular seorang wanita Britain yang tidak berpuas hati terhadap sajian nasi lemak dalam pesawat British Airways baru-baru ini.Iklan

Pada hantaran itu, Najib turut memaparkan tangkap layar berita sebuah portal bertajuk “Bossku sudah lanjut usia, elok luang masa dengan cucu – kata calon Warisan”.

“Kita akan bawa suara Sabah ke Parlimen. Terima kasih kepada semua warga pengundi Kimanis. Jumpa lagi!,” kata Najib dalam hantaran berasingan.

Calon BN, Mohamad Alamin semalam diumum memenangi PRK Kimanis dengan memperoleh 12,706 undi berbanding Karim yang memperoleh 10,677 undi.

Pada pilihan raya umum lalu, calon BN Anifah Aman memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi dengan memperoleh sebanyak 11,942 undi.

Undi yang diperoleh Karim semalam adalah kurang 1,109 undi berbanding undi diperolehinya pada PRU 2018.

Dalam hantaran berasingan awal hari ini, Najib dalam nada lebih serius mengucapkan terima kasih kepada penyokong BN di Kimanis.

Beliau mengingatkan kepada mereka bagaimana BN pada mulanya menang di negeri itu dalam pilihan raya umum lalu tetapi satu siri pembelotan oleh bewakil rakyatnya akhirnya menyaksikan Shafie Apdal yang mengetuai Warisan dilantik sebagai ketua menteri.

“Walaupun BN di Sabah mengalami kekalahan teruk di beberapa kerusi, keputusan negeri memihak kepada kita. Malangnya ada wakil rakyat bertanding dan menang atas tiket, dana dan jentera BN meninggalkan perjuangan kami.

“Mereka membentuk kerajaan negeri dengan PH.

“Selepas itu, BN Sabah terus dilanda isu pemimpin dan wakil rakyat keluar meninggalkan BN untuk menyertai PH. Mereka tidak memberi peluang kepada BN.

“Mereka tidak beri peluang kepada diri mereka untuk jadi pembangkang dan suara rakyat Sabah yang berwibawa. Mereka pilih untuk bersama PH,” ujarnya.

Najib berkata pejuang ikhlas dan setia akan kekal bersama BN dan mereka ini tidak mengharapkan apa-apa selepas berkorban masa, tenaga malah dana untuk parti itu.

“Saya yakin kita akan dapat bina semula BN dengan adanya mereka.

“Terima kasih kepada pemimpin Sabah dan ahli-ahli yang masih bersama dan menyokong BN,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *