Kerajaan Sabah Nilai Semula PSS Susulan Kekalahan Warisan Di Kimanis

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menghadiri rumah terbuka Krismas dan Tahun Baru anjuran Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Ewon Benedick di Kota Belud hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata, beliau akan menilai semula rancangan untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) sehari selepas calon partinya kalah di tangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

“Saya akan melihatnya secara terperinci dan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri rumah terbuka Krismas dan Tahun Baru anjuran Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Ewon Benedick di Kota Belud hari ini.

PSS dianggap punca kekalahan Warisan yang mencalonkan Karim Bujang dalam PRK Kimanis.

Karim kalah dengan undi majoriti sebanyak 2,029 selepas meraih 10,677 undi berbanding calon BN Mohamad Alamin yang mendapat 12,706 undi semalam.

BN dan parti pembangkang Sabah menjadikan isu PSS sebagai senjata utama mereka sepanjang tempoh berkempen.

PSS yang dijadual dilaksanakan pada Jun depan bertujuan menggantikan 3 dokumen pengenalan diri yang berbeza yang dipegang oleh pendatang asing ke Sabah.

Terdahulu hari ini Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan isu PSS merupakan antara faktor menyebakan kekalahan Warisan dalam PRK itu.

Dalam ucapannya pada majlis hari ini, Shafie, yang juga presiden Warisan berkata, partinya menerima keputusan PRK berkenaan kerana ia adalah kehendak pengundi di Kimanis.

“Kita harus menghormati keputusan rakyat. Tetapi jangan bimbang, saya telah lalui jatuh bangun dalam hidup saya.

“Ini hanyalah satu pertempuran, bukan peperangan,” katanya, disambut tepukan hadirin.

Ketika mengucapkan terima kasih kepada penyokong di Kimanis, terutama mereka yang mengundi Karim, Shafie berjanji akan terus membantu penduduk di situ walaupun kalah.

“Tidak bermakna bila kita kalah, kita tinggalkan rakyat. Kita kalah di Tambunan (pada pilihan raya umum ke-14), tapi saya kembali ke situ untuk beri RM1 juta untuk bina gereja. Malah saya juga berikan peruntukan lain ke kawasan itu,” kata Shafie.

Pada sidang media selepas itu, beliau berkata, rakyat di masih memerlukan sokongan dan bantuan kerajaan.

“Kita adalah kerajaan,” katanya.

Berhubung kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyebut bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan post mortem bagi mengenal pasti faktor kekalahan Warisan, Shafie berkata, parti itu juga akan menjalankan post mortemnya sendiri.

“Terdapat beberapa faktor termasuk calon, kewangan dan beberapa perkara lain. Saya akui ia perlu diteliti.

“Kita akan buat post mortem segera bagi membaiki persiapan kita,” kata ahli Parlimen Semporna itu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *