(VIDEO) Pelajar UMP Hasilkan Inovasi Straw Pokok Kercut

Pelajar UMP memilih pokok kercut untuk dijadikan straw mesra alam di makmal UMP, Gambang.

KUANTAN: Inovasi menghasilkan penyedut minuman mesra alam daripada pokok kercut (Lepironia articulata), iaitu sejenis tumbuhan akuatik yang banyak tumbuh di kawasan berpaya, mampu menggantikan penggunaan straw plastik.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Suryati Sulaiman, berkata inovasi menggunakan pokok kercut atau pokok purun itu dihasilkan sekumpulan 10 pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda universiti itu susulan usaha kerajaan melarang penggunaan straw plastik secara berperingkat.

Katanya, kajian terbabit dijalankan mulai 2012 sebelum siap sepenuhnya pada tahun lalu.

Beliau berkata, hasil usaha diterajui pelajar Kelab Iskandar UMP itu ternyata amat menggalakkan apabila straw pokok kercut terbukti sesuai dan selamat digunakan, selain mesra alam.

“Setiap straw pokok kercut sesuai digunakan sekali saja. Lebih menarik lagi, ia hanya mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk terurai secara semula jadi seperti yang berlaku pada tumbuhan rumpai.

“Penghasilan straw pokok kercut yang mempunyai empat saiz membabitkan lapan proses,” katanya yang juga penasihat utama Projek Straw Mesra Alam berkenaan.

Suryati berkata, lebih banyak penyelidikan akan dilakukan pada masa depan dalam usaha menyahut saranan kerajaan agar negara memiliki lebih banyak produk mesra alam.

Sementara itu, ketua kumpulan terbabit, Nurul Farah Anisa Hairulnizam, 21, berkata bentuk, panjang (18 hingga 20 sentimeter) dan garis pusat (dua hingga lima milimeter) straw pokok kercut yang dihasilkan adalah sama dengan penyedut minuman plastik dalam pasaran kini.

Beliau berkata, sebelum ini, pokok kercut atau pokok purun hanya diguna untuk menghasilkan kraf tangan, termasuk tikar, selain ubat-ubatan tradisional bagi merawat beberapa penyakit seperti kencing manis.

“Lapan proses dilalui bagi menghasilkan straw, termasuk membersih, memotong mengikut saiz, membuang selaput dalam batang menggunakan sejenis berus dan menjemurnya selama tiga hari.

“Bagi mencantikkan lagi straw, ia boleh diwarnakan dengan bahan daripada tumbuhan seperti pokok pandan dan pokok inai,” katanya yang juga pelajar program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam.

Menjelaskan lanjut, Nurul Farah Anisa berkata, sokongan diberikan Ikatan Siswa Darul Ta’zim (ISKANDAR) serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP yang menyediakan geran, membantu melancarkan lagi penyelidikan terbabit.

Malah, beliau berkata, pensyarah UMP, Dr Abdul Syukor Abd Razak yang berpengalaman luas dalam penghasilan produk mesra alam bertaraf antarabangsa, juga banyak membantu dalam usaha berkenaan.

“Saya berharap straw pokok kercut dapat digunakan sepenuhnya di negara ini dalam usaha menjaga alam sekitar daripada terus tercemar.

“Produk itu juga mampu menjana pendapatan masyarakat luar bandar. Di negeri ini, ada beberapa kawasan yang terkenal dengan tumbuhan kercut seperti Tasik Chini dan Kuala Pahang, Pekan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *