Dua PATI Filipina Ditahan, Rampas 289 Gram Syabu

Dua PATI Filipina Ditahan, Rampas 289 Gram Syabu

TAWAU: Cubaan dua lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina menyeludup keluar dadah jenis syabu ke Indonesia, tidak kesampaian apabila mereka diberkas pihak berkuasa di perairan daerah ini, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten V Siva Kumar berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, pihaknya turut merampas 289 gram dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM50,000.

“Terdahulu, sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan rondaan rutin di lokasi kejadian sebelum menemui sebuah bot kayu yang keluar secara melulu dari Kampung Titingan, Batu 4, menuju ke sempadan perairan negara.

“Anggota bertugas kemudian bertindak memintas bot kayu tersebut yang dinaiki dua lelaki berumur 41 dan 43 tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambah Siva, pemeriksaan yang dilakukan ke atas bot tersebut berjaya menemui bungkusan plastik hitam berbentuk bujur seperti bola ragbi berisi dadah jenis syabu.

“Siasatan awal mendapati suspek dalam perjalanan dari Batu 4 menuju ke Pulau Nunukan, Indonesia dipercayai untuk menyeludup barang terlarang tersebut.

“Kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Sehubungan itu, APMM merampas semua dadah, bot dan enjin dianggarkan bernilai RM60,000 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1953/69 kerana memasuki negara ini secara haram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *