3 Lelaki Ditahan Bawa 7 PATI Masuk Sabah

Foto Ihsan PPM

SANDAKAN: Tiga lelaki ditahan selepas didakwa menjadi tekong darat menyeludup tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) berhampiran Sungai Padas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, suspek yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua warganegara Indonesia yang berumur antara 26 dan 37 tahun  dikesan membawa Pati menggunakan dua buah kenderaan.

Foto Ihsan PPM

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, terdahulu pihaknya melakukan intipan selepas mendapat maklumat berhubung pergerakan Pati di lokasi kejadian.

“Hasil pemerhatian yang dilakukan, pegawai dan anggota bertugas menemui dua kenderaan iaitu jenis Perodua Kenari berada dalam keadaan mencurigakan di situ.

“Seterusnya pasukan bertugas menahan kenderaan terbabit untuk melakukan pemeriksaan sebelum mendapati seramai sembilan individu termasuk dua lelaki yang bertindak sebagai pemandu,” katanya kepada media, hari ini.

Foto Ihsan PPM

Tambahnya, seorang lagi suspek warga Indonesia pula adalah tekong di laut yang dipercayai membawa semua suspek sebelum diserahkan kepada tekong darat untuk menaiki kenderaan.

“Ketika ditahan, dua tekong warga Indonesia itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Manakala tujuh orang penumpang dalam kenderaan terbabit adalah Pati berasal dari Filipina berumur antara 13 hingga 44 tahun lagi,” katanya

Menurut Mohamad Pajeri, kumpulan Pati berkenaan mengaku dikenakan bayaran sebanyak RM50 seorang atau RM350 oleh tekong tersebut.

“Sehubungan itu, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 26 A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan  aktiviti penyeludupan manusia.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, dua tekong Indonesia dan tujuh Pati warga Filipina disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen yang sah.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *