Saya Bekerja Demi Rakyat, Bukan Berjanji Bulan Dan Bintang

KIMANIS: Tempoh tiga hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis digunakan sepenuhnya calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang untuk bertemu setiap pengundi dalam usaha meyakinkan mereka mengundi parti itu Sabtu ini.

Walaupun pembangkang menggunakan taktik menghasut pengundi dengan memburuk-burukkan kerajaan dan menjanjikan pelbagai perkara, Karim sebaliknya memilih untuk meneruskan kempen secara berhemah kerana yakin hanya melalui keikhlasan barulah sokongan rakyat dapat diraih.

Ketika ditemui Borneo Today di Kampung Sinar Baru, Mandahan hari ini, Karim berkata, beliau tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada penduduk Kimanis, namun beliau akan bekerja keras membantu masalah rakyat dan menyampaikannya kepada kerajaan jika dipilih menjadi Ahli Parlimen Kimanis.

Bagi Karim, rakyat Kimanis tidak memerlukan pelbagai janji daripada pemimpin sebaliknya mereka memerlukan seseorang yang dapat menghulurkan bantuan ketika susah, justeru itu akan menjadi keutamaannya sepanjang berkhidmat nanti.

“Dia memerlukan wakil rakyat yang agak sensitif terhadap permasalahan rakyat dan saya yakin ciri-ciri dalam memberikan segala bantuan yang diperlukan oleh pengundi dan penduduk itu hendaklah menjadi keutamaan kepada semua wakil rakyat tidak pilih Parlimen atau dewan undangan negeri (DUN) yang penting kita bela nasib rakyat yang memerlukan pembelaan ini.

“Tiada guna cakap besar berbilion-bilion walhal di kawasan kita masih banyak lagi yang tertinggal, rumah miskin yang diperbaiki di depan dan belakang saya semuanya ini akan menjadi keutamaan kalau diberi peluang untuk berbuat demikian,” katanya.

Terdahulu, beliau melakukan kempen dari rumah ke rumah di kampung itu dan melawat sebuah keluarga yang mengalami beberapa masalah selain ada ahli keluarga yang kurang sihat.

Dalam pertemuan dengan ketua keluarga itu, Karim meminta mereka menyiapkan segala dokumen yang perlu dan selepas PRK nanti, beliau berjanji akan menyuarakan masalah itu kepada kerajaan untuk diselesaikan.

Sementara itu, Karim berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera Warisan sepanjang 11 hari tempoh berkempen ini dan berharap hasil kerja keras itu akan berhasil apabila Warisan memenangi PRK Parlimen Kimanis.

Mengulas lanjut katanya, rakyat amat mengenalinya di Kimanis kerana beliau sebelum ini bertanding atas tiket pembangkang, namun ditakdirkan kali ini Warisan adalah kerajaan pemerintah maka sokongan rakyat pasti akan memihak kepada parti itu.

“Dalam masa tiga hari lagi pembuangan undi akan bermula, saya lihat daripada gerak kerja dan susulan yang saya buat kita telah mendahului parti lawan dengan selesa disebabkan kesedaran dalam kalangan rakyat betapa pentingnya menyokong dan memberi undi kepada kerajaan yang ada,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *