Konduktor Bas Mengaku Tidak Bersalah Mencedera Dan Merompak Pemandu Grab Wanita

Mohd Isyak Donal dibawa keluar selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Seorang konduktor bas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan dan merompak seorang pemandu Grab wanita berusia 59 tahun di Kinarut awal bulan ini.

Mohd Isyak Donal, 22 dari Semporna yang tidak diwakili memohon untuk dibicarakan apabila dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Kalthom Abdul Samad hari ini di sini.

Dia dituduh di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mengakibatkan kecederaan ketika melakukan rompakan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda ataupun disebat sekiranya didapati bersalah.

Mohd Isyak dituduh memukul dan mencederakan, Liew Hen Wah sebelum merompak pemandu Grab wanita itu pada pukul 10pagi di Kampung Gana, Kinarut pada 7 Januari lalu.

Ummu kemudian menetapkan 30 Januari ini bagi pengurusan kes pra-bicara.

Mahkamah menawarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 yang harus dibayar tunai dengan dua orang penjamin tempatan yang beralamat tetap seperti alamat tertuduh dalam kad pengenalan.

Syarat tambahan turut ditambah iaitu tertuduh harus melapor diri dengan Pegawai Penyiasat setiap minggu dan sekiranya gagal berbuat demikian jaminan akan dilucutkan.

Ummu turut memberi amaran bahawa Mahkamah juga berhak membatalkan jaminan tersebut sekiranya menerima aduan daripada mangsa atau saksi-saksi telah diganggu.

Syarat-syarat ini ditetapkan memandangkan tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang berat.

Timbalan Pegawai Pendakwaraya Nur Syafiqah Suleiman menyatakan bahawa dakwaan kesalahan ini tidak dibenarkan ikat jamin kerana terdapat risiko kemungkinan mangsa akan diganggu.

Sekiranya, Mahkamah memutuskan menawarkan ikatjamin maka pihak pendakwaraya memohon ianya ditetapkan sebanyak RM6,000 dengan beberapa syarat tambahan lagi termasuk melapor diri kepada pegawai penyiasat dua kali sebulan.

Bagaimanapun sehingga berita ini ditulis belum ada maklumat tertuduh telah dibebaskan atas ikat jamin.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *